24 Oktober 2009

PENDEDAHAN MUZIK DALAM PEMBENTUKAN MASYARAKAT

Pernahkah anda mendengar muzik? Sudah pasti jawapannya ya! Amat mustahil jika jawapannya tidak, kerana pada zaman yang serba maju ini, perkembangan muzik berlaku amat pesat sekali. Kita sentiasa mendengar bunyi muzik di mana-mana sahaja seperti di pasaraya, restauran, semasa kita menonton televisyen dan juga ketika talifon bimbit anda berdering. Keadaan seperti ini menunjukkan bahawa kita tidak akan terpisah dengan bunyi muzik walau di mana jua kita berada. Setiap bunyi muzik yang kita dengar pasti mempunyai keseniannya yang tersendiri. Oleh itu, muzik tergolong dalam seni. Muzik lebih sinonim dengan panggilan ‘seni muzik’. Hal ini membuktikan bahawa seni dan muzik tidak dapat dipisahkan lagi.
Seni muzik adalah dua perkataan yang berbeza maksudnya. Apabila dipisahkan perkataan muzik dan seni akan memberi dua erti yang berbeza. Bidang kesenian di anggap sebagai suatu nilai dan simbol dalam sesebuah tamadun, bangsa dan kebudayaan. Seni adalah satu 1manifestasi dan pancaran rasa keindahan, pemikiran, kesenangan dan perasaan yang lahir daripada seniman. Wujud atau lahirnya sesebuah karya seni atau objek seni adalah hasil dari idea-idea para seniman yang berlandaskan daya imaginasi, pengetahuan, pendidikan, inspirasi dan juga tenaga seniman itu sendiri. Dalam memperkatakan tentang kesenian, banyak definisi yang dapat diberi. Namun begitu, kebanyakkan takrif seni lebih menekan dan menjurus mengenai keinginan manusia untuk menghasilkan sesuatu aktiviti.
Raymond William (1968:132) mendefinisikan seni sebagai satu kemahiran yang bersifat imaginatif dan kreatif; suatu gubahan lagu yang menghasilkan satu bentuk irama yang indah dan penerimaannya bergantung kepada sejarah, lokasi, budaya dan citarasa seseorang itu. Menurut Kamus Dewan ‘muzik’ didefinisikan sebagai gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan serta terdiri daripada pelbagai jenis  bunyi-bunyian.
Muzik adalah satu daya tarikan kepada manusia. Ahli-ahli falsafah berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai minat terhadap muzik. Keadaan ini jelas dilihat kepada reaksi manusia terhadap bunyi-bunyian yang sudah menjadi kegemaran sejak manusia dilahirkan. Muzik sebenarnya tidak dapat dilihat dan dinikmati dengan pancaindera penglihatan, tetapi dirasai dengan hati atau perasaan.
Suasana di sekeliling kita akan berubah apabila terdapat bunyi muzik yang kedengaran. Seseorang yang berada dalam keadaan sedih atau murung akan menjadi cepat ceria apabila mendengar muzik. Muzik sebenarnya mampu menghiburkan hati yang duka, merawat jiwa yang lara dan menjadi pengubat kecewa. Begitulah besarnya implikasi muzik dalam mempengaruhi pembentukan emosi seseorang.
Kini terdapat kaedah yang menggunakan muzik untuk pemulihan, pemeliharaan, dan peningkatan taraf kesihatan mental dan fizikal seseorang. Kaedah ini dinamakan terapi muzik. Bidang terapi muzik merupakan suatu disiplin muzik yang khusus yang muncul di kedua-dua benua Amerika dan Eropah lebih kurang pada masa yang sama di awal abad ke-20. Setiap perubahan dari segi kognitif, sosial, dan emosi dapat dicapai dengan teknik-teknik muzik tertentu.
Megikut kajian sebanyak 6000-10,000 pakar muzik terapi di seluruh dunia memberi perkhidmatan kepada golongan masyarakat terutamanya mereka yang menghadapi trauma, gangguan emosi, kerencatan akal, ketegangan, penyakit kanser & AIDS, dan lain-lain lagi. (David Aldridge, 2005:113)
Sejak awal abad ke-20, muzik dimainkan di hospital dengan tujuan membantu proses pemulihan serta meningkatkan semangat pesakit. Muzik dipercayai mempercepatkan fungsi 2metabolisme serta melegakan tekanan jiwa. Disamping itu, terapi muzik juga bertujuan bagi memulihan kekuatan fizikal, menyediakan pesakit menanggung kepedihan rawatan, memberi sokongan emosi kepada pesakit dan keluarganya, serta memberi peluang melepaskan perasaan dan menyenangkan fikiran. Setelah penaksiran klinikal dijalankan, pakar terapi muzik akan menjalankan program terapi muzik yang mungkin melibatkan teknik-teknik seperti mendengar seleksi muzik tertentu, memain alat-alat muzik, menyanyi, perbincangan lirik-lirik lagu, mengarang dan menggubah lagu, memberi persembahan secara kumpulan, 3hipnosis muzik, menari atau melukis dengan muzik.
Bidang terapi muzik diiktiraf sebagai suatu disiplin akademik yang tersendiri serta mustahak dalam penubuhan program peringkat universiti oleh Kansas University di Amerika Syarikat dalam tahun 1946. Di United Kingdom pula, pakar terapi muzik diiktiraf sama taraf dengan profesional para perubatan yang lain apabila Jabatan Kesihatan dan Sekuriti Sosial menganugerahkan mereka dengan struktur gaji dan pekerjaan yang sah. Semua ini menunjukkan bahawa muzik boleh membawa faedah yang penting kepada manusia sekiranya ianya digunakan dengan betul.
Kajian yang mendalam terhadap perhubungan muzik dengan perkembangan kanak-kanak menunjukkan bahawa muzik dapat memainkan peranan penting dalam memperkembangkan kemahiran kognitif, fizikal dan sosial kanak-kanak. Kerajinan yang diperlukan dalam pembelajaran kemahiran bermain sesuatu alat muzik dapat membina disiplin. Kanak-kanak yang aktif bermain muzik secara berkumpulan pula dapat memperkembangkan kemahiran berinteraksi secara sosial. Keyakinan diri pula diperkembangkan apabila seseorang kanak-kanak itu berjaya bermain sebuah lagu. Daya kreativiti terbina apabila kanak-kanak digalakkan mencipta lagu sendiri.
Hiburan adalah elemen yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan manusia. Misalnya, lagu-lagu berunsur motivasi yang membawa kepada kebaikan mampu memberikan signifikan yang cukup besar untuk pembangunan diri yang positif.  Walau bagaimanapun tidak dinafikan seseorang itu mampu terleka dengan alunan irama dan lagu sesebuah muzik apabila muzik dihayati dengan penuh mendalam. Bagi masyarakat Melayu terutamanya yang beragama Islam, muzik sering dianggap  sesuatu hiburan yang berunsurkan negatif. Tetapi sebenarnya ia tidak seperti yang disangkakan oleh kebanyakkan masyarakat Melayu. Agama Islam menyatakan selagi muzik yang dibawa dalam apa jua versi dan rentak yang tidak bertentangan dengan syariat serta memenuhi kriteria sebagai lagu yang mendorong kepada kebaikan, maka Islam membenarkannya.
Umat Islam pada asasnya tidak dihalang menikmati muzik malah untuk menceburkan diri secara serius dalam arena muzik. Sememangnya terdapat beberapa genre muzik yang diharamkan dalam Islam. Kita tidak boleh menerima semua bentuk seni muzik moden, kerana ia akan menyebabkan kegagalan pemulihan nilai-nilai murni terhadap seni muzik. Walau bagaimanapun muzik boleh dinikmati sekiranya ia berlangsung dalam suasana yang baik. (Zunaidah Zainon, 2006:12)
Muzik adalah suatu ilmu pengetahuan yang amat meluas untuk kita terokai. Setiap golongan diseru agar mempelajari pendidikan muzik bagi meluaskan ilmu pengetahuan tentang muzik. Dalam pembelajaran pendidikan muzik, kita akan diajar teknik-teknik yang betul untuk bermain alat muzik, membaca notasi muzik dengan cekap, menyanyi dengan vokal yang mantap, menggubah lagu dan banyak lagi. Di samping itu, tidak ketinggalan juga dalam mempelajari serba sedikit tentang bahasa-bahasa asing seperti bahasa Itali, bahasa France dan bahasa German. Hal ini kerana muzik adalah pendidikan terawal yang bermula di negara-negara Barat. Kita perlu mempelajari bahasa-bahsa berikut kerana perkembangan awal muzik bermula di negara-negara Barat pada tahun 450-1450. Oleh kerana perkembangan seni muzik kini berlaku amat pesat di negara-negara Barat, secara tidak langsung kita juga berpeluang mencungkil teknologi baru dalam bidang muzik di sana. Pengalaman yang diperoleh di negara luar dapat dipraktikkan di negara sendiri bagi memajukan industri muzik tanah air.
Muzik sebenarnya telah lama dimasukkan dalam kurikulum di peringkat sekolah rendah dan menengah di negara Barat dan juga diperkenalkan di sekolah-sekolah di Malaysia. Ini menandakan bahawa muzik diiktiraf sebagai suatu mata pelajaran yang patut dipelajari. Penglibatan anak-anak muda dalam bidang muzik di sekolah-sekolah swasta mahupun kerajaan kini kian bertambah. Keadaan ini menunjukkan bahawa respon yang positif telah diberi oleh masyarakat zaman kini. Hal ini terjadi kerana, pendidikan muzik dijalankan dalam suasana yang harmonis dan menyeronokkan bagi meningkatkan minat murid terhadap pendidikan muzik. Penglibatan dalam bidang muzik dapat mengisi masa lapang mereka dengan lebih bermakna. Jadi, masalah lepak dikalangan remaja secara tidak langsung dapat dikurangkan. Seterusnya negara juga dapat melahirkan generasi yang bijak pandai serta berpengetahuan tinggi.
Menurut kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (2005) pada tahun 1979, Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah mengambil keputusan untuk menjadikan pendidikan muzik sebagai satu mata pelajaran yang digalakkan bagi semua pelajar peringkat sekolah rendah di Malaysia. Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah ditugaskan untuk merancang satu sukatan pelajaran muzik dan mata pelajaran muzik KBSR telah dilaksanakan di seluruh negara pada tahun 1983. Objektif sukatan pelajaran ini menekankan kepada pembentukan kemahiran murid. Pada tahun 1995, sukatan pelajaran muzik yang baru telah diterbitkan oleh PPK. Matlamat kurikulum baru ini pula bertujuan untuk memperkembangkan potensi dan kualiti diri individu dari segi nilai 4estetika muzik dan etika melalui pelbagai pengalaman muzik ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup dalam konteks pelbagai budaya dan aspirasi negara.
Pendedahan muzik dapat merangsang minda seseorang itu untuk berfikikir dengan cergas. Seseorang itu akan menjadi lebih mudah untuk mengingat serta mempunyai ingatan yang kukuh. Kajian telah menunjukan bahawa muzik juga dapat merangsang pembelajaran kerana muzik mempu melahirkan rasa suka, selesa dan ceria ketika belajar dan membantu maklumat diserap oleh otak. Setiap pelajar mempunyai keinginan yang unik dalam memilih tempat dan suasana yang paling sesuai untuk belajar. Memainkan lagu-lagu latar berbentuk instrumental adalah cara yang terbaik semasa kita sedang belajar.  Untuk kesan yang terbaik, muzik ini mestilah dimainkan pada kadar bunyi yang sederhana tinggi agar tidak mengganggu anda.  Muzik yang paling sesuai ialah instrumental klasik yang dimainkan oleh pemuzik seperti Vivaldi, Bach, Bernstain dan lain-lain.  Muzik ini sangat sesuai kerana kebanyakannya menggunakan tempo 60 bit seminit, iaitu sama seperti kadar degupan jantung purata anda ketika rehat. Apabila bunyi muzik dialunkan, denyutan dan tekanan darah akan menurun disamping membantu memperlahankan gelombang dalam otak kita. Dlam masa yang sama juga otot-otot kita juga berada dalam keadaan relaks.
Selain itu, pakar-pakar perubatan dari negara Barat pernah membuat kesimpulan bahawa muzik juga baik untuk perkembangan bayi semasa dalam kandungan ibu. Muzik klasik khususnya dikatakan memberi pengaruh besar kepada perkembangan otak bayi. Berdasarkan penyelidikan oleh Universal Securities, lebih 60 peratus daripada wanita hamil di Jepun mendengar muzik klasik untuk janin mereka. Seorang profesor muzik di Kolej Muzik Kunitachi, Jepun mengatakan muzik klasik adalah penting untuk tumbesaran anak-anak.
Berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan, muzik tersebut mempunyai tiga kesan positif untuk ibu dan bayi yang dikandung. Pertama, muzik klasik membantu menghasilkan gelombang alpha otak yang mana kita memilikinya ketika sedang santai atau merasa selesa. Oleh kerana janin amat dipengaruhi oleh keadaan ibu, rasa relaks, tenang dan selesa semasa mendengar muzik klasik akan memberi kesan positif kepada bayi juga. Kesan positif kedua ialah muzik klasik turut membantu perkembangan otak janin kerana ia boleh mendengar.  Jadi, sekiranya kita memainkan muzik untuk janin, ia akan memberi ransangan kepada otak untuk berkembang dengan lebih baik. Kesan ketiga pula ia membantu ibu mengeluarkan lebih banyak hormon yang diperlukan oleh janin mahu pun diri sendiri. Malah, kajian terbaru juga mendapati muzik klasik adalah antara jalan yang paling sesuai untuk bayi bersedia dengan masa hadapan. Menurut Dr. Etsujiro Takahashi dari Hospital Aiiku, walaupun ibu dan janin mempunyai dua hidup yang berbeza, namun bayi amat sensitif dan bertindak balas kepada perasaan ibu mereka kerana hormon yang dikeluarkan akan masuk kepada bayi melalui uri.
Ilmu pengetahuan tentang muzik harus didedahkan kepada orang ramai agar mereka lebih menghargai karya-karya muzik yang tedahulu. Muzik sebenarnya mempunyai kelebihannya tersendiri yang dapat membentuk jati diri seseorang itu. Pendedahan muzik kepada masyarakat secara tidak langsung dapat melahirkan pemain muzik yang handal, pencipta muzik dan juga pendidik muzik yang profesional. Kemajuan dalam bidang muzik yang meluas ini, dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seterusnya berpeluang mencipta sebuah sejarah negara. Golongan profesional inilah yang akan memajukan industri seni muzik negara dan berpontensi untuk bersaing dengan negara-negara luar.
Mempelajari seni muzik bukanlah merugikan seseorang itu, malah ia memberikan keuntungan yang berlipat ganda terutamanya kepada diri sendiri. Apabila kita sudah menguasai sesuatu ilmu, sudah pasti kita boleh mencari keuntungan melaluinya. Apa yang cuba saya maksudkan di sini ialah kita berpeluang menjual lagu-lagu yang kita cipta sendiri, membuat persembahan di tempat-tempat ternama ataupun membuka sekolah muzik kita sendiri. Seterusnya kemajuan ekonomi negara juga dapat ditingkatkan seiring dengan penubuhan sekolah-sekolah muzik baru. Oleh yang demikian, bangsa-bangsa asing juga akan sentiasa mencari peluang pasaran antarabangsa di negara kita.
Saya ingin menyarankan dalam usaha kita memberi pendedahan seni muzik khususnya kita tidak harus alpa terhadap nilai-nilai dan budaya kita sendiri. Seni itu juga global, kerana globalnya seni maka kita dapat menikmatinya tanpa mengira batasan geografi. Kepelbagaian etnik di bumi bertuah ini juga menjadikan kita kaya dengan seni dan budaya, oleh itu usaha untuk memupuk seni dan pembudayaannya tidak harus dibelakangkan. Usaha ini tidak harus ditumpukan kepada Kementerian Kebudayaan semata-mata malah setiap agensi harus sama-sama menerapkan dan menonjolkan kebudayaan kita di mana saja ada ruang dan peluang untuk ini.    (Y.A.B. Datuk Musa Haji Aman, 2005:22)
Kita perlulah sentiasa menyokong arena muzik tanah air bagi menjayakan industri muzik tempatan. Jika tidak, pembangunan muzik di negara ini akan menjadi semakin tenat dan dikuatiri seni muzik akan pupus dan musnah begitu sahaja. Contoh-contoh pendedahan muzik yang dibincangkan di atas menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada masyarakat umum kenal bahawa muzik boleh mempengaruhi manusia. Pengaruh muzik ini tidak berhenti setakat individu sahaja, tetapi dapat juga mempengaruhi masyarakat secara lebih umum, khususnya dalam membina semangat nasionalisme di kalangan rakyat sesuatu negara. Ini dilihat dalam pembangunan gerakan Nasionalisme di benua Eropah pada pertengahan abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Oleh itu, usahlah kita memandang rendah terdadap seni muzik ini . Marilah kita bersama-sama memajukan serta meluaskan pendedahan seni muzik ini kepada semua lapisan masyarakat agar pengaruh muzik ini berkembang maju sehingga keakhir zaman.
BIBLIOGRAFI
David Aldridge (2005). Case study design in music therapy. London: Jessica Kingsley Publishers London and Philadelphia.
Frans Schalkwijk (1994). Music and people with developmental disabilities.  England: Jessica Kingsley Publishers London and Philadelphia.
Y.A.B. Datuk Musa Haji Aman (2005). Cultural Rendezvous In Borneo III. Sabah: Sound Of Strings.
Ang, M. (1996). Peranan muzik dalam membina bangsa Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zunaidah Zainon (2006, Ogos 15). Muzik Islam perlu disokong. Harakah, 7.
Bunt, L. (1994). Music Therapy. London: Routledge.
Department of Health and Social Security Memorandum: PM (82) 6.
Blair, D. (1964). Arts in Society: Music Therapy. New Society. 30 Jan 64. p26.
Feder, E. & Feder. B. (1981). The “Expressive” Arts Therapies: Art, Music and Dance as Psychotherapy. New Jersey: Prentice-Hall.
Draper, T.W. & Gayle, C. (1986). An Analysis of Historical Reasons for Teaching Music to Young Children. Music and Child Development. New York: Springer-Verlag. pp 194-205.
Scott-Kassner, C. (1992). Research on Music in Early Childhood. Handbook of Research on Music Teaching and Learning. New York: Schirmer Books. pp. 651-668.
Peery, J.C. & Peery, I.W. (1986). The Role of Music in Child Development. Music and Child Development. New York: Springer-Verlag. pp. 3-31.
Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad (2006). Suasana belajar yang berkesan. Diperoleh pada September 5, 2006 daripada http://myschoolnet.ppk.kpm.my/laman_map/belajar/belajar04.htm
Luca (2004). Definisi Seni. Diperoleh pada Ogos 29, 2006 daripada http://www.sifoo.com/sifoov5/articles.php?do=view&id=38
Utusan Malaysia Online (2006). Muzik pengaruhi perkembangan otak janin. Utusan Malaysia. Diperoleh pada September 4, 2006 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2003&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_04.htm
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (2005). Kajian Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Muzik Sekolah Rendah. Kementerian Pendidikan Malaysia. Diperoleh pada September 1, 2006 daripada http://www.moe.gov.my/tayang.php?laman=lihat_info&bhs=my&id=40&info=penyelidikan