24 Oktober 2009

Muzik sekadar di pinggiran

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my
Dulu 60 minit, sekarang berkurangan kepada 30 minit sahaja. Satu langkah yang dikira sangat tidak realistik ketika penghayatan seni semakin meningkat di kalangan generasi muda.


DI saat guru-guru sekolah sibuk mendidik pelajar untuk mendapat skor terbaik dalam pelbagai mata pelajaran khususnya Sains dan Matematik, mata pelajaran pendidikan muzik pula menerima nasib sebaliknya - dipinggirkan!
Isu bahawa muzik bukan sesuatu yang penting di kalangan generasi baru negara ini timbul apabila pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) baru-baru ini telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan masa pembelajaran pendidikan muzik kepada 30 minit sahaja setiap minggu.
Sebelum ini Kementerian Pelajaran memperuntukkan tempoh masa selama 60 minit seminggu Kokurikulum Sekolah Rendah bagi mendedahkan pelajar kepada dunia muzik secara lebih profesional.
Banyak yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan saranan yang dibuat oleh pihak kementerian berkenaan dan mahu pihak berkenaan mempertimbangkan semula kerana ini mampu menjejaskan dari segi pelbagai faktor. Sebenarnya, tanpa disedari langkah tersebut boleh menjejaskan kelahiran generasi 'celik muzik' di kalangan generasi baru.
Kita sepatutnya mengambil contoh daripada negara-negara maju, seperti Jepun, yang mewajibkan setiap murid gred 1 hingga 9 (tahun 1 hingga tingkatan 3) mengikuti pelajaran muzik selama 120 minit seminggu.
Boleh dikatakan setiap sekolah di Jepun menyediakan kemudahan dan peralatan serta bahan pengajaran lengkap untuk pengajaran matapelajaran muzik.
Sementara itu di Jerman pula, bermula dari murid tadika hinggalah ke gred 12 (tingkatan 2) diwajibkan mengikuti pelajaran muzik sekurang-kurangnya 90 minit seminggu.
Mengajar jadi pengguna muzik
Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Ketua Jabatan Muzik Universiti Teknologi Mara, Profesor Dr. Ramona Mohd Tahir, tanpa pendidikan asas, kualiti muzik mungkin akan terjejas dan usaha memberi lebih kecemerlangan kepada industri seni tempatan tidak akan berhasil.
Bukan mahu mengajar anak-anak untuk menjadi ahli muzik, sebaliknya ia mampu melahirkan masyarakat yang bijak menilai kualiti sesebuah karya kerana merekalah yang akan menjadi pengguna kepada muzik dimasa depan.
Tanpa ilmu muzik, masyarakat terlalu mudah untuk berpuas hati dengan hasil karya muzik yang begitu rendah nilai estetiknya.
"Seperti mata pelajaran Sejarah, Sains dan Geografi, Pendidikan Muzik juga adalah pendidikan asas dalam pembelajaran sekolah. Tidak semestinya mereka perlu jadi pemuzik, ia sekadar ilmu yang harus masyarakat tahu.
"Tanpa ilmu muzik, mereka akan menilai berdasarkan radio yang didengar, rupa paras seseorang pemuzik itu, lirik putus cinta yang sememangnya disukai umum serta gosip-gosip terbaru mengenai penyanyi berkenaan.
"Disebabkan itu, masyarakat kita terlalu memilih tentang hal penyanyi berbanding karya mereka. Lihatlah negara-negara luar, asalkan muzik mereka berkualiti, mereka diterima tidak kira sama ada mereka gemuk, kurus, hodoh atau cantik.
"Kehebatan penyanyi di Malaysia lebih menjurus kepada komersial dan populariti. Mereka hanya menguasai jenis-jenis muzik yang bertahap rendah.
"Sebab itu, masyarakat sekarang gemar lagu-lagu pop dan ini tidak memajukan tamadun dan warisan negara kerana mereka tidak tahu, apa alatan muzik asas yang ada dan nilai sesebuah karya muzik tersebut," tegasnya.
Tambah Ramona, biarpun pendidikan muzik diwajibkan di setiap sekolah sejak tahun 1983, mata pelajaran tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya. "Muzik lebih kepada untuk bersukaria seperti menyanyi tetapi tanpa ilmu muzik di dada," ujarnya.
Kekurangan penggiat seni bijak
Umum tahu, agak sukar untuk penggiat seni kita diiktiraf ke peringkat antarabangsa dan mereka yang diiktiraf boleh dibilang dengan jari sahaja.

PEMBELAJARAN muzik di sekolah mendedahkan generasi muda kepada kesenian yang lebih profesional.

Puncanya, mereka dikatakan tidak layak dan belum sampai pada taraf berkualiti lagi. Semua ini kerana penerapan ilmu muzik begitu kurang serta mentaliti kita yang hanya melihat muzik daripada skop yang cukup sempit.
Memang benar, mereka mempunyai bakat semulajadi serta pakej yang lengkap untuk menjadi seorang penyanyi, namun hakikatnya, pendidikan muzik langsung tidak ada.
Tanya sahaja kepada penyanyi-penyanyi baru mengenai ilmu-ilmu muzik, mereka pasti akan terdiam dan hanya memberikan senyuman sahaja.
Menurut Presiden Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (Mame), Johami Abdullah atau nama komersialnya, Joe Chelliah, potensi muzik yang terpendam di kalangan para pelajar boleh dicungkil dan dipelihara dengan amat baik semasa mereka masih bersekolah lagi.
"Bakat muzik yang terpendam di kalangan para pelajar sama pentingnya dengan potensi dan bakat lain seperti kemahiran-kemahiran linguistik atau psikomotor yang juga boleh dicungkil pada peringkat sekolah.
"Satu kerugian besar jika setiap kanak-kanak tidak berpeluang untuk menguji bakat muzikalnya sewaktu bersekolah lagi.
"Tanpa pendidikan muzik, penyanyi yang lahir dalam industri menjadi kurang berkualiti kerana langsung tiada pendedehan muzik sejak kecil.
"Cuba lihat contoh seperti Fauzi Marzuki, Datuk A. Rahman Hassan dan Aubrey Suwito, mereka bukan sekadar bermain muzik di Malaysia, sebaliknya turut diundang ke luar negara.
"Jika kita mempunyai pendidikan yang tinggi dalam muzik, jangan terkejut jika Malaysia juga mampu diikitiraf ke peringkat dunia. Malah generasi akan datang mungkin akan menjadi lebih hebat berbanding penggiat muzik sekarang," katanya.

BIDANG muzik juga boleh dijadikan sebagai kerjaya profesional.

Menurut Joe lagi, cadangan pengurangan masa pelajaran muzik tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan merugikan pelajar yang kurang berkemampuan, sebaliknya, bagi golongan yang mampu dan tahu akan kepentingan muzik, mereka akan menghantar anak-anak mereka ke kelas muzik di luar waktu sekolah.
Muzik bantu tingkatkan IQ
Di Malaysia, ramai ibu bapa mahu anak-anak mereka fokus lebih dengan mata pelajaran yang ada dalam peperiksaan dan mereka akan memastikan anak-anak akan membesar dengan ilmu akademik yang penuh di dada.
Tetapi, tahukah anda bahawa ia sebenarnya akan memberi tekanan kepada mereka? Sebaliknya, pendidikan muzik mampu memudahkan pelajaran anak-anak kerana mampu meningkatkan IQ mereka.
Para penyelidik di University of California yang diketuai oleh Frances Rauscher dan Gordon Shaw telah menemui teori The Mozart Effect iaitu wujudnya hubungkait antara muzik dan beberapa aspek dalam fikiran manusia.

TANPA didikan muzik, generasi muda tidak tahu mengenai budaya tradisional Malaysia.

Kanak-kanak sekolah rendah terutamanya yang mengikuti kelas muzik, mendapat keputusan lebih baik dalam peperiksaan sekolah.
Kajian dalam bidang neurologi mendapati, pemuzik yang mula mempelajari alat muzik keyboard sebelum berumur tujuh tahun mempunyai gentian saraf (bahagian otak yang membawa isyarat di antara otak kiri dan kanan) lebih tebal berbanding individu lain, sekali gus membuatkan mereka yang mempelajari muzik mampu berfikir dengan pantas.

MUZIK mampu menjadi terapi bagi merawat permasalahan yang bersarang di pemikiran manusia.

Di awal tahun 1900, muzik dijadikan sebagai agen untuk melengkapkan ilmu dalam bidang mata pelajaran lain seperti Matematik, Sains, Geografi dan lain-lain.
Kajian yang dilakukan oleh The National Center for Educational Statistics (U.S. Department of Education) merumuskan kesan penglibatan dalam aktiviti muzik memberikan peratus pelajar tersebut mempunyai lebih banyak gred A berbanding dengan pelajar tanpa ilmu muzik.
Kajian ini membuatkan hampir seluruh negara-negara maju mencadangkan penglibatan pelajar dalam kegiatan muzik untuk memudahkan perjalanan pembelajaran mata pelajaran lain.

Apa pentingnya pendidikan muzik di sekolah?

KANAK-kanak yang didedahkan dengan muzik akan lebih kreatif dan mengapresiasi muzik apabila mereka dewasa kelak. - Gambar Hiasan.

RAMAI orang terutamanya dari negara dunia ketiga termasuklah di Malaysia menganggap muzik tidak penting. Muzik sering dikaitkan untuk tujuan berhibur semata-mata tetapi kalau boleh bikin duit, itu paling bagus.
Sebabnya, di negara kita tidak ramai yang telah menjadi kaya raya kerana muzik. Kalau ada pun, bilangannya boleh dibilang dengan jari.
Lebih baik jadi doktor, peguam atau apa juga pekerjaan yang lain. Sebagai budak pejabat sekali pun tidak mengapa. Sekurang-kurangnya mereka ada gaji tetap setiap bulan.
Itu mentaliti kita tentang muzik. Kita hanya melihat muzik daripada skop yang cukup sempit. Bidang muzik atau peranannya dianggap tidak penting seperti kerjaya-kerjaya lain.
Seolah-olah kita menidakkan kekuatan spiritual alunan tiupan saksofon pemuzik seperti Kenny G misalnya, berbanding terapi seorang doktor sakit jiwa terhadap pesakitnya.
Mentaliti itu timbul antara lain kerana kita terlalu memikirkan bagaimana mahu 'membuat duit' daripada muzik. Sedangkan kita malas berfikir bagaimana mahu menjadikan muzik lebih bernilai daripada duit.
Itu daripada segi tarikan luaran. Apabila bercakap daripada segi dalaman pula, bagaimana sumbangan muzik dalam mempengaruhi emosi, psikologi, ketrampilan diri dan pembentukan nilai intelek seseorang?
Ia agak terlalu jauh ke depan. Mungkin kita tidak terfikir sampai ke tahap itu lagi. Apa pun, ia boleh dimaafkan sesuai dengan taraf kita yang tinggal di negara membangun.
Bagaimanapun, dalam menuju ke arah negara maju pada tahun 2020, ramai juga di antara kita yang telah mulai sedar peri pentingnya muzik.
Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (MAME) contohnya, mengalu-alukan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sejak sekian lama prihatin dalam menerapkan pendidikan muzik di peringkat sekolah rendah.
Matapelajaran muzik yang diserapkan menerusi ko-kurikulum sekolah memang suatu pendekatan yang seiring dengan keperluan negara dalam menuju ke arah negara maju. Bak kata orang, melentur buluh biarlah daripada rebung.
Sayangnya, minggu lalu terdengar pula ura-ura KPM bercadang mahu mengurangkan masa 60 minit seminggu yang diperuntukkan dalam Pendidikan Muzik dalam kurikulum sekolah rendah.
Pengurangan waktu dalam matapelajaran muzik itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan hasrat kita dalam melahirkan 'celik muzik' di kalangan generasi pelapis pada masa depan.
Sebabnya, kuota masa untuk matapelajaran muzik sebelum ini boleh dianggap tidak penting dan hanya sisipan sahaja. Malah, jumlahnya antara yang paling sedikit jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Dalam isu ini, cadangan KPM yang mahu mengurangkan jumlah waktu pengajaran dalam matapelajaran muzik yang selama ini memang terlalu sedikit harus dipertimbangkan semula.
Kita sepatutnya mengambil contoh negara-negara maju seperti Jepun yang mewajibkan setiap murid gred 1 hingga 9 (tahun 1 hingga tingkatan 3) mengikuti pelajaran muzik selama 120 minit seminggu.
Boleh dikatakan setiap sekolah di Jepun menyediakan kemudahan dan peralatan serta bahan pengajaran lengkap untuk pengajaran matapelajaran muzik.
Sementara di Jerman pula, setiap murid dari peringkat tadika hingga ke gred 12 (tingkatan 2) pula diwajibkan mengikuti matapelajaran muzik sekurang-kurangnya 90 minit seminggu.
Pendedahan dalam bidang muzik terutamanya daripada peringkat awal tumbesaran kanak-kanak amat penting dan dipercayai banyak mempengaruhi emosi serta pemikiran kanak-kanak.
Tidak hairanlah ramai pakar psikologi Barat yang mendedahkan muzik pada peringkat dalam kandungan lagi dengan muzik-muzik tertentu seperti klasikal bagi membantu perkembangan otak janin.
Dunia pendidikan Islam juga tidak ketinggalan menerapkan alunan irama-irama tertentu dalam melahirkan insan yang membangun seiring dengan pengaruh spritual dan jasmani sejak bayi masih dalam kandungan.
Selain itu, pendidikan muzik pada peringkat kanak-kanak juga akan mendedahkan mereka dengan pelbagai genre dan perkembangan muzik yang amat luas cabang genre serta daya kreativitinya.
Muzik seharusnya dibincangkan secara lebih intelek bagi mengupas segala macam nilai pemikiran dan kreativiti dalam penghasilannya. Daripada situ ia juga boleh diadaptasi ke dalam pelbagai lagi bidang yang merangkumi kerjaya dan cabang-cabang kehidupan yang lain.
Kalaulah pendekatan ini dipandang serius, kita yakin generasi sekarang yang banyak didedahkan dengan muzik akan menjadi lebih progresif pada masa depan.
Pendidikan muzik sejak dari peringkat kanak-kanak secara tidak langsung akan mudah melahirkan masyarakat yang bukan sahaja 'celik muzik' tetapi juga tahap apresiasi mereka yang lebih tinggi.
Para peminat kelak tentunya akan mempunyai citarasa dan pemilihan atas sesuatu karya muzik dengan memilih hanya yang benar-benar kreatif serta bermutu sahaja.
Tidak hairanlah industri muzik tanah air sekarang ini kelihatan statik kerana ia antara lain berpunca daripada tahap citarasa, pendedahan dan pengetahuan kita yang amat cetek dalam bidang muzik.
Pada masa sama, masalah cetak rompak atau hak-hak serta undang-undang yang berkaitan harta intelek juga mungkin dapat ditangani dengan lebih mudah pada masa depan.
Ini kerana apalah gunanya negara mencapai status negara maju sedangkan tahap pemikiran, pengetahuan dan apresiasi kita termasuklah terhadap muzik masih lagi berada ditakuk seperti negara dunia ketiga?
Dipetik dari Utusan online

PENDEDAHAN MUZIK DALAM PEMBENTUKAN MASYARAKAT

Pernahkah anda mendengar muzik? Sudah pasti jawapannya ya! Amat mustahil jika jawapannya tidak, kerana pada zaman yang serba maju ini, perkembangan muzik berlaku amat pesat sekali. Kita sentiasa mendengar bunyi muzik di mana-mana sahaja seperti di pasaraya, restauran, semasa kita menonton televisyen dan juga ketika talifon bimbit anda berdering. Keadaan seperti ini menunjukkan bahawa kita tidak akan terpisah dengan bunyi muzik walau di mana jua kita berada. Setiap bunyi muzik yang kita dengar pasti mempunyai keseniannya yang tersendiri. Oleh itu, muzik tergolong dalam seni. Muzik lebih sinonim dengan panggilan ‘seni muzik’. Hal ini membuktikan bahawa seni dan muzik tidak dapat dipisahkan lagi.
Seni muzik adalah dua perkataan yang berbeza maksudnya. Apabila dipisahkan perkataan muzik dan seni akan memberi dua erti yang berbeza. Bidang kesenian di anggap sebagai suatu nilai dan simbol dalam sesebuah tamadun, bangsa dan kebudayaan. Seni adalah satu 1manifestasi dan pancaran rasa keindahan, pemikiran, kesenangan dan perasaan yang lahir daripada seniman. Wujud atau lahirnya sesebuah karya seni atau objek seni adalah hasil dari idea-idea para seniman yang berlandaskan daya imaginasi, pengetahuan, pendidikan, inspirasi dan juga tenaga seniman itu sendiri. Dalam memperkatakan tentang kesenian, banyak definisi yang dapat diberi. Namun begitu, kebanyakkan takrif seni lebih menekan dan menjurus mengenai keinginan manusia untuk menghasilkan sesuatu aktiviti.
Raymond William (1968:132) mendefinisikan seni sebagai satu kemahiran yang bersifat imaginatif dan kreatif; suatu gubahan lagu yang menghasilkan satu bentuk irama yang indah dan penerimaannya bergantung kepada sejarah, lokasi, budaya dan citarasa seseorang itu. Menurut Kamus Dewan ‘muzik’ didefinisikan sebagai gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan serta terdiri daripada pelbagai jenis  bunyi-bunyian.
Muzik adalah satu daya tarikan kepada manusia. Ahli-ahli falsafah berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai minat terhadap muzik. Keadaan ini jelas dilihat kepada reaksi manusia terhadap bunyi-bunyian yang sudah menjadi kegemaran sejak manusia dilahirkan. Muzik sebenarnya tidak dapat dilihat dan dinikmati dengan pancaindera penglihatan, tetapi dirasai dengan hati atau perasaan.
Suasana di sekeliling kita akan berubah apabila terdapat bunyi muzik yang kedengaran. Seseorang yang berada dalam keadaan sedih atau murung akan menjadi cepat ceria apabila mendengar muzik. Muzik sebenarnya mampu menghiburkan hati yang duka, merawat jiwa yang lara dan menjadi pengubat kecewa. Begitulah besarnya implikasi muzik dalam mempengaruhi pembentukan emosi seseorang.
Kini terdapat kaedah yang menggunakan muzik untuk pemulihan, pemeliharaan, dan peningkatan taraf kesihatan mental dan fizikal seseorang. Kaedah ini dinamakan terapi muzik. Bidang terapi muzik merupakan suatu disiplin muzik yang khusus yang muncul di kedua-dua benua Amerika dan Eropah lebih kurang pada masa yang sama di awal abad ke-20. Setiap perubahan dari segi kognitif, sosial, dan emosi dapat dicapai dengan teknik-teknik muzik tertentu.
Megikut kajian sebanyak 6000-10,000 pakar muzik terapi di seluruh dunia memberi perkhidmatan kepada golongan masyarakat terutamanya mereka yang menghadapi trauma, gangguan emosi, kerencatan akal, ketegangan, penyakit kanser & AIDS, dan lain-lain lagi. (David Aldridge, 2005:113)
Sejak awal abad ke-20, muzik dimainkan di hospital dengan tujuan membantu proses pemulihan serta meningkatkan semangat pesakit. Muzik dipercayai mempercepatkan fungsi 2metabolisme serta melegakan tekanan jiwa. Disamping itu, terapi muzik juga bertujuan bagi memulihan kekuatan fizikal, menyediakan pesakit menanggung kepedihan rawatan, memberi sokongan emosi kepada pesakit dan keluarganya, serta memberi peluang melepaskan perasaan dan menyenangkan fikiran. Setelah penaksiran klinikal dijalankan, pakar terapi muzik akan menjalankan program terapi muzik yang mungkin melibatkan teknik-teknik seperti mendengar seleksi muzik tertentu, memain alat-alat muzik, menyanyi, perbincangan lirik-lirik lagu, mengarang dan menggubah lagu, memberi persembahan secara kumpulan, 3hipnosis muzik, menari atau melukis dengan muzik.
Bidang terapi muzik diiktiraf sebagai suatu disiplin akademik yang tersendiri serta mustahak dalam penubuhan program peringkat universiti oleh Kansas University di Amerika Syarikat dalam tahun 1946. Di United Kingdom pula, pakar terapi muzik diiktiraf sama taraf dengan profesional para perubatan yang lain apabila Jabatan Kesihatan dan Sekuriti Sosial menganugerahkan mereka dengan struktur gaji dan pekerjaan yang sah. Semua ini menunjukkan bahawa muzik boleh membawa faedah yang penting kepada manusia sekiranya ianya digunakan dengan betul.
Kajian yang mendalam terhadap perhubungan muzik dengan perkembangan kanak-kanak menunjukkan bahawa muzik dapat memainkan peranan penting dalam memperkembangkan kemahiran kognitif, fizikal dan sosial kanak-kanak. Kerajinan yang diperlukan dalam pembelajaran kemahiran bermain sesuatu alat muzik dapat membina disiplin. Kanak-kanak yang aktif bermain muzik secara berkumpulan pula dapat memperkembangkan kemahiran berinteraksi secara sosial. Keyakinan diri pula diperkembangkan apabila seseorang kanak-kanak itu berjaya bermain sebuah lagu. Daya kreativiti terbina apabila kanak-kanak digalakkan mencipta lagu sendiri.
Hiburan adalah elemen yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan manusia. Misalnya, lagu-lagu berunsur motivasi yang membawa kepada kebaikan mampu memberikan signifikan yang cukup besar untuk pembangunan diri yang positif.  Walau bagaimanapun tidak dinafikan seseorang itu mampu terleka dengan alunan irama dan lagu sesebuah muzik apabila muzik dihayati dengan penuh mendalam. Bagi masyarakat Melayu terutamanya yang beragama Islam, muzik sering dianggap  sesuatu hiburan yang berunsurkan negatif. Tetapi sebenarnya ia tidak seperti yang disangkakan oleh kebanyakkan masyarakat Melayu. Agama Islam menyatakan selagi muzik yang dibawa dalam apa jua versi dan rentak yang tidak bertentangan dengan syariat serta memenuhi kriteria sebagai lagu yang mendorong kepada kebaikan, maka Islam membenarkannya.
Umat Islam pada asasnya tidak dihalang menikmati muzik malah untuk menceburkan diri secara serius dalam arena muzik. Sememangnya terdapat beberapa genre muzik yang diharamkan dalam Islam. Kita tidak boleh menerima semua bentuk seni muzik moden, kerana ia akan menyebabkan kegagalan pemulihan nilai-nilai murni terhadap seni muzik. Walau bagaimanapun muzik boleh dinikmati sekiranya ia berlangsung dalam suasana yang baik. (Zunaidah Zainon, 2006:12)
Muzik adalah suatu ilmu pengetahuan yang amat meluas untuk kita terokai. Setiap golongan diseru agar mempelajari pendidikan muzik bagi meluaskan ilmu pengetahuan tentang muzik. Dalam pembelajaran pendidikan muzik, kita akan diajar teknik-teknik yang betul untuk bermain alat muzik, membaca notasi muzik dengan cekap, menyanyi dengan vokal yang mantap, menggubah lagu dan banyak lagi. Di samping itu, tidak ketinggalan juga dalam mempelajari serba sedikit tentang bahasa-bahasa asing seperti bahasa Itali, bahasa France dan bahasa German. Hal ini kerana muzik adalah pendidikan terawal yang bermula di negara-negara Barat. Kita perlu mempelajari bahasa-bahsa berikut kerana perkembangan awal muzik bermula di negara-negara Barat pada tahun 450-1450. Oleh kerana perkembangan seni muzik kini berlaku amat pesat di negara-negara Barat, secara tidak langsung kita juga berpeluang mencungkil teknologi baru dalam bidang muzik di sana. Pengalaman yang diperoleh di negara luar dapat dipraktikkan di negara sendiri bagi memajukan industri muzik tanah air.
Muzik sebenarnya telah lama dimasukkan dalam kurikulum di peringkat sekolah rendah dan menengah di negara Barat dan juga diperkenalkan di sekolah-sekolah di Malaysia. Ini menandakan bahawa muzik diiktiraf sebagai suatu mata pelajaran yang patut dipelajari. Penglibatan anak-anak muda dalam bidang muzik di sekolah-sekolah swasta mahupun kerajaan kini kian bertambah. Keadaan ini menunjukkan bahawa respon yang positif telah diberi oleh masyarakat zaman kini. Hal ini terjadi kerana, pendidikan muzik dijalankan dalam suasana yang harmonis dan menyeronokkan bagi meningkatkan minat murid terhadap pendidikan muzik. Penglibatan dalam bidang muzik dapat mengisi masa lapang mereka dengan lebih bermakna. Jadi, masalah lepak dikalangan remaja secara tidak langsung dapat dikurangkan. Seterusnya negara juga dapat melahirkan generasi yang bijak pandai serta berpengetahuan tinggi.
Menurut kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (2005) pada tahun 1979, Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah mengambil keputusan untuk menjadikan pendidikan muzik sebagai satu mata pelajaran yang digalakkan bagi semua pelajar peringkat sekolah rendah di Malaysia. Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah ditugaskan untuk merancang satu sukatan pelajaran muzik dan mata pelajaran muzik KBSR telah dilaksanakan di seluruh negara pada tahun 1983. Objektif sukatan pelajaran ini menekankan kepada pembentukan kemahiran murid. Pada tahun 1995, sukatan pelajaran muzik yang baru telah diterbitkan oleh PPK. Matlamat kurikulum baru ini pula bertujuan untuk memperkembangkan potensi dan kualiti diri individu dari segi nilai 4estetika muzik dan etika melalui pelbagai pengalaman muzik ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup dalam konteks pelbagai budaya dan aspirasi negara.
Pendedahan muzik dapat merangsang minda seseorang itu untuk berfikikir dengan cergas. Seseorang itu akan menjadi lebih mudah untuk mengingat serta mempunyai ingatan yang kukuh. Kajian telah menunjukan bahawa muzik juga dapat merangsang pembelajaran kerana muzik mempu melahirkan rasa suka, selesa dan ceria ketika belajar dan membantu maklumat diserap oleh otak. Setiap pelajar mempunyai keinginan yang unik dalam memilih tempat dan suasana yang paling sesuai untuk belajar. Memainkan lagu-lagu latar berbentuk instrumental adalah cara yang terbaik semasa kita sedang belajar.  Untuk kesan yang terbaik, muzik ini mestilah dimainkan pada kadar bunyi yang sederhana tinggi agar tidak mengganggu anda.  Muzik yang paling sesuai ialah instrumental klasik yang dimainkan oleh pemuzik seperti Vivaldi, Bach, Bernstain dan lain-lain.  Muzik ini sangat sesuai kerana kebanyakannya menggunakan tempo 60 bit seminit, iaitu sama seperti kadar degupan jantung purata anda ketika rehat. Apabila bunyi muzik dialunkan, denyutan dan tekanan darah akan menurun disamping membantu memperlahankan gelombang dalam otak kita. Dlam masa yang sama juga otot-otot kita juga berada dalam keadaan relaks.
Selain itu, pakar-pakar perubatan dari negara Barat pernah membuat kesimpulan bahawa muzik juga baik untuk perkembangan bayi semasa dalam kandungan ibu. Muzik klasik khususnya dikatakan memberi pengaruh besar kepada perkembangan otak bayi. Berdasarkan penyelidikan oleh Universal Securities, lebih 60 peratus daripada wanita hamil di Jepun mendengar muzik klasik untuk janin mereka. Seorang profesor muzik di Kolej Muzik Kunitachi, Jepun mengatakan muzik klasik adalah penting untuk tumbesaran anak-anak.
Berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan, muzik tersebut mempunyai tiga kesan positif untuk ibu dan bayi yang dikandung. Pertama, muzik klasik membantu menghasilkan gelombang alpha otak yang mana kita memilikinya ketika sedang santai atau merasa selesa. Oleh kerana janin amat dipengaruhi oleh keadaan ibu, rasa relaks, tenang dan selesa semasa mendengar muzik klasik akan memberi kesan positif kepada bayi juga. Kesan positif kedua ialah muzik klasik turut membantu perkembangan otak janin kerana ia boleh mendengar.  Jadi, sekiranya kita memainkan muzik untuk janin, ia akan memberi ransangan kepada otak untuk berkembang dengan lebih baik. Kesan ketiga pula ia membantu ibu mengeluarkan lebih banyak hormon yang diperlukan oleh janin mahu pun diri sendiri. Malah, kajian terbaru juga mendapati muzik klasik adalah antara jalan yang paling sesuai untuk bayi bersedia dengan masa hadapan. Menurut Dr. Etsujiro Takahashi dari Hospital Aiiku, walaupun ibu dan janin mempunyai dua hidup yang berbeza, namun bayi amat sensitif dan bertindak balas kepada perasaan ibu mereka kerana hormon yang dikeluarkan akan masuk kepada bayi melalui uri.
Ilmu pengetahuan tentang muzik harus didedahkan kepada orang ramai agar mereka lebih menghargai karya-karya muzik yang tedahulu. Muzik sebenarnya mempunyai kelebihannya tersendiri yang dapat membentuk jati diri seseorang itu. Pendedahan muzik kepada masyarakat secara tidak langsung dapat melahirkan pemain muzik yang handal, pencipta muzik dan juga pendidik muzik yang profesional. Kemajuan dalam bidang muzik yang meluas ini, dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seterusnya berpeluang mencipta sebuah sejarah negara. Golongan profesional inilah yang akan memajukan industri seni muzik negara dan berpontensi untuk bersaing dengan negara-negara luar.
Mempelajari seni muzik bukanlah merugikan seseorang itu, malah ia memberikan keuntungan yang berlipat ganda terutamanya kepada diri sendiri. Apabila kita sudah menguasai sesuatu ilmu, sudah pasti kita boleh mencari keuntungan melaluinya. Apa yang cuba saya maksudkan di sini ialah kita berpeluang menjual lagu-lagu yang kita cipta sendiri, membuat persembahan di tempat-tempat ternama ataupun membuka sekolah muzik kita sendiri. Seterusnya kemajuan ekonomi negara juga dapat ditingkatkan seiring dengan penubuhan sekolah-sekolah muzik baru. Oleh yang demikian, bangsa-bangsa asing juga akan sentiasa mencari peluang pasaran antarabangsa di negara kita.
Saya ingin menyarankan dalam usaha kita memberi pendedahan seni muzik khususnya kita tidak harus alpa terhadap nilai-nilai dan budaya kita sendiri. Seni itu juga global, kerana globalnya seni maka kita dapat menikmatinya tanpa mengira batasan geografi. Kepelbagaian etnik di bumi bertuah ini juga menjadikan kita kaya dengan seni dan budaya, oleh itu usaha untuk memupuk seni dan pembudayaannya tidak harus dibelakangkan. Usaha ini tidak harus ditumpukan kepada Kementerian Kebudayaan semata-mata malah setiap agensi harus sama-sama menerapkan dan menonjolkan kebudayaan kita di mana saja ada ruang dan peluang untuk ini.    (Y.A.B. Datuk Musa Haji Aman, 2005:22)
Kita perlulah sentiasa menyokong arena muzik tanah air bagi menjayakan industri muzik tempatan. Jika tidak, pembangunan muzik di negara ini akan menjadi semakin tenat dan dikuatiri seni muzik akan pupus dan musnah begitu sahaja. Contoh-contoh pendedahan muzik yang dibincangkan di atas menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada masyarakat umum kenal bahawa muzik boleh mempengaruhi manusia. Pengaruh muzik ini tidak berhenti setakat individu sahaja, tetapi dapat juga mempengaruhi masyarakat secara lebih umum, khususnya dalam membina semangat nasionalisme di kalangan rakyat sesuatu negara. Ini dilihat dalam pembangunan gerakan Nasionalisme di benua Eropah pada pertengahan abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Oleh itu, usahlah kita memandang rendah terdadap seni muzik ini . Marilah kita bersama-sama memajukan serta meluaskan pendedahan seni muzik ini kepada semua lapisan masyarakat agar pengaruh muzik ini berkembang maju sehingga keakhir zaman.
BIBLIOGRAFI
David Aldridge (2005). Case study design in music therapy. London: Jessica Kingsley Publishers London and Philadelphia.
Frans Schalkwijk (1994). Music and people with developmental disabilities.  England: Jessica Kingsley Publishers London and Philadelphia.
Y.A.B. Datuk Musa Haji Aman (2005). Cultural Rendezvous In Borneo III. Sabah: Sound Of Strings.
Ang, M. (1996). Peranan muzik dalam membina bangsa Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zunaidah Zainon (2006, Ogos 15). Muzik Islam perlu disokong. Harakah, 7.
Bunt, L. (1994). Music Therapy. London: Routledge.
Department of Health and Social Security Memorandum: PM (82) 6.
Blair, D. (1964). Arts in Society: Music Therapy. New Society. 30 Jan 64. p26.
Feder, E. & Feder. B. (1981). The “Expressive” Arts Therapies: Art, Music and Dance as Psychotherapy. New Jersey: Prentice-Hall.
Draper, T.W. & Gayle, C. (1986). An Analysis of Historical Reasons for Teaching Music to Young Children. Music and Child Development. New York: Springer-Verlag. pp 194-205.
Scott-Kassner, C. (1992). Research on Music in Early Childhood. Handbook of Research on Music Teaching and Learning. New York: Schirmer Books. pp. 651-668.
Peery, J.C. & Peery, I.W. (1986). The Role of Music in Child Development. Music and Child Development. New York: Springer-Verlag. pp. 3-31.
Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad (2006). Suasana belajar yang berkesan. Diperoleh pada September 5, 2006 daripada http://myschoolnet.ppk.kpm.my/laman_map/belajar/belajar04.htm
Luca (2004). Definisi Seni. Diperoleh pada Ogos 29, 2006 daripada http://www.sifoo.com/sifoov5/articles.php?do=view&id=38
Utusan Malaysia Online (2006). Muzik pengaruhi perkembangan otak janin. Utusan Malaysia. Diperoleh pada September 4, 2006 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2003&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_04.htm
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (2005). Kajian Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Muzik Sekolah Rendah. Kementerian Pendidikan Malaysia. Diperoleh pada September 1, 2006 daripada http://www.moe.gov.my/tayang.php?laman=lihat_info&bhs=my&id=40&info=penyelidikan

Hala tuju Pendidikan Muzik di Malaysia

Pendidikan Muzik di Malaysia bermula seawal tahun 1982 dan hanya dilaksakan di sekolah rendah sahaja. Setelah 13 tahun kemudian, Pendidikan Muzik mula dilaksanakan di sekolah menengah sebagai subjek elektif dengan bertujuan memperkembangkan sahsiah diri pelajar dari aspek estetik, kreatif dan persepsinya agar dapat mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam urusan hidupnya serta mengenal identiti bangsa. Bidang pendidikan muzik di negara ini, sedikit sebanyak telah membuka perluang pekerjaan kepada sesetengah golongan masyarakat. Pelbagai peluang kerjaya disediakan seperti guru muzik, pemuzik, penggubah lagu, pencipta lirik, artis dan sebagainya. Pendidikan muzik di sekolah dapat memberi penekanan ke arah pembentukan kualiti diri pelajar yang merangkumi aspek perasaan, kreativiti, nilai sosialisasi, estetika, dan etika. Selain itu, ia juga bertujuan memperkembangkan tahap pencapaian pelajar dalam bidang akademik iaitu penggunaan seimbang di antara otak kiri dan kanan seseorang pelajar itu di samping dapat mencungkil bakat dan juga kemahiran yang terpendam dalam kalangan pelajar. Pendidikan Muzik juga berperanan membantu ketangkasan, skil berfikir, skil mendengar, disiplin diri, koordinasi, keyakinan diri, dan ekspresi diri pelajar. Bagi pendapat saya, Pendidikan Muzik di sekolah perlulah diperbaharui system dan sukatan pengajarannya agar ianya lebih sesuai dengan perkembangan aliran muzik masa kini dengan menyediakan kelengkapan alatan muzik serta tenaga pengajar yang berkebolehan mengajar subjek ini di sekolah. Rata-rata saya melihat, murid-murid sekolah rendah terutamanya, tidak diajar dengan sempurna tentang intipati pendidikan muzik ini. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, marilah kita bersama-sama meningkatkan kualiti pendidikan muzik di negara kita, dan jangan sesekali kita membenarkan pengurangan masa P&P Pendidikan Muzik ini berlaku. Diharapkan dengan sokongan ini dapat menjamin generasi yang akan datang dapat menikmati kesenian muzik yang sistematik dan seterusnya berkembang secara menyeluruh dan seimbang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Nyanyian

Sukatan Lama :

1. Nyanyian

2. Muzik dengan gerakan

3. Permainan Alat Muzik

Sukatan Baru

Empat Aspek Utama

1 Persepsi Estetik

2. Pengalaman Muzikal

3. Ekspresi Kreatif

4. Penghargaan Estetik

Tujuh Konsep Muzik

1. Irama

2. Melodi

3. Warna ton

4. Bentuk

5. Harmoni

6. Ekspresi

7. Tekstur

Nyanyian:

Kenapa belajar menyanyi?

Menyanyi adalah satu cara yang istimewa dalam penggunaan suara dan sebab-sebab yang penting dalam mempelajari nyanyian dalah seperti berikut :

Dapat memperluaskan budaya dan memahami perasan dan budaya sesebuah masyarakat.

Memperkayakan imaginasi.

Mempertingkatkan daya pemikian.

Memberikan keseronokan dan kegembiraan.

Memperbaiki kesihatan melalui latihan pernafasan yang betul.

Memperbaiki kekuatan dan mutu suara dalam percakapan.

Memperkuatkan daya ingatan dan konsentrasi.

Melepaskan perasaan yang kurang senang.

Membina keyakinan diri.

Membina personaliti yang dinamik dan terpuji serta kualiti kepimpinan.

Aset warisan budaya.

Memberi kepuasan kepada diri sendiri dan orang lain.

10 aspek penting bagi seseorang penyanyi:  

Sebelum seseorang mempelajari nyanyian , ia perlu mempunyai perkara-perkara seperti berikut:-

Suka muzik dan seronok menyanyi.

Mempunyai deria dan rasa pic irama yang tepat.

Berimaginasi dan daya interpretasi yang tinggi.

Sihat dan bersemangat dan mempunyai tabii dari aspek kesihatan yang baik.

Bijak.

Personaliti yang disenangi.

Daya usaha yang tinggi untuk mempertingkatkan kebolehan.

Kebolehan menyanyi semerta dan memainkan iringan yang mudah.

Alat suara yang baik.

Koordinasi fisikal yang baik - penguasaan dan pengawalan nafas dan otot fonasi.

Empat aspek yang berkaitan dengan bidang nyanyian.

Terdapat empat aspek yang berkaitan dengan bidang nyanyian.Aspekpaspek tersebut adalah fizikal,emosi,intelek dan muzikal.

Fizikal - Seseorang yang hendak mempelajari nyanyian perlu sihat,kuat bertenaga dan menjaga berat badan agar seimbang.

Emosi - Perlu stabil emosinya,sensitif dan espresif seta suka menyanyi.

Intelek - Boleh berfikir,membuat banding beza dengan rasional dan kritis,bijak mengaplikasi apa yang telah dipelajari,ambil tahu dengan bidang-bidang ilmu pengetahuan lain.

Muzikal - Boleh membaca irama dan jeda dengan tepat,ada pengetahuan tetang teori muzik (nota muzik),ada pengetahuan akan stal ciptaan dan pencipta muzik.

10 Prinsip dalam bidang nyanyian.

Sebelum seseorang mempelajari nyanyian ia perlu mengamalkan prinsip di bawah.

Sentiasa bersikap positif,seronok dan yakin.

Bijak dan kerap berlatih.

Mengamalkan postur yang baik.

Pengawalan pernafasan (costal epigastrium) yang baik.

Pengeluaran suara atau ton yang ekspresif,rata,

bersemangat, ringan,kaya dan bergema.

Penguasaan dalam sebutan dan artukilasi yang jelas,tepat dan cantik.

Penguasaan teknik legato.

Penguasaan teknik yang tangkas dan fleksibel.

Penampilan persembahan fisikal yang bersahaja - natura,bersopandan bersikap tenang dan yakin.

Sensitif , bijak dalam membuat interpretasi yang ekspresif.

Prinsip dan peraturan dalam latihan nyanyian.

Positif  dan anggap latihan sebagai suatu tugas yang menyeronokkan.

Fokus - ton yang ekspresif,bermutu dan ringan.

Mula dengan yang mudah dan dalam renj yang selesa.

Elak dari terus berlatih ton yang tidak diingini dan berlatihlah dalam konsentrasi.

Rehat,rileks sebentar selepas berlatih sebelum menyambung semula.

Berdiri semasa menyanyi dan elakkan dari terlalu bergantung kepada piano untuk mendapatkan ketepatan pic.

Mula latihan dengan vokal yang mudah dan senang dihasilkan seperti 'Oh".

Ekspreimen untuk menghasilkan ton yang cantik dan ekspresif.Pada permulaan elakkan berlatih tanpa guru dan elakkan berlatih apabila terlalu penat atau mula sakit tekak.

Berfikir dan berlatih bersungguh-sungguh serta berlatih degan teliti tanpa bergolot.

Berlatih untuk membna pengawalan pernafasan yang baik.Elakkan dariberlatih hanya satu lagu sahaja.Mula berlatih dengan latiahn skel dan arpegios lambat kemudian cepat,lembut dan kuat beransur lembut,beransur kuat dan sebagainya.

Elak dari meniru suara orang lain.Fokus pada frasa yang lemah dan hafal senikata lagu.

Kerap berlatih pada masa yang ditentukan dan bersabar.. !

 

(Dipetik dari buku Membimbing Koir oleh Pn.Khalijah Mohamed - Bekas Pensyarah Institut Perguruan Mohamad Khalid JB).

Perubahan Dalam Sukatan Baru

Empat Aspek Utama :

1. Persepsi Estetik (Bahasa Muzik) 2. Pengalaman Muzikal 3. Ekspreasi Kreatif

4. Penghargaan Estetik

Keempat-empat aspek di atas dijalankan menggunakan aktiviti nyanyian,muzik dan gerakan,permainan alat muzik dan aspresiasi muzik.

Tujuh Konsep Muzik Yang Utama (Perlu diketahui oleh semua Pendizik) - Pendiidik Muzik.

1. Irama 2. Melodi 3. Warna ton 4. Bentuk 5. Harmoni 6. Teksur

7. Ekspresi



1. Irama

Diaplikasikan kepada semua yang berkaitan dengan unsur masa dalam muzik.

a. Muzik bergerak kepada beat/bunyi yang stabil.

b. Setiap beat dan rehat mempunyai nilai sama ada panjang / pendek.

c. Kumpulan beat membentuk tanda masa / meter.

d. Beat-beat mempunyai tekanan.

e. Gabungan not / beat membentuk corak irama yang berlainan dan atau berulang-ulang.

Simbol Verbal :

Irama detik not dan tanda rehat meter tekanan corak irama,ostinato,rentak.

Objektif P & P :

Pada akhir pembelajaran murid-murid akan dapat :

1. Merasa nadi/detik sesuatu lagu/muzik

2. Membezakan panjang pendek sesuatu nilai not dalam corak irama.

3. Merasa tekanan / accent pada sesuatu lagu.

4. Membezakan irama/rentak yang sama dan tidak sama.

5. Mengenal pasti meter sesebuah lagu yang dimainkan/dinyanyikan/didengar.



2. Melodi

Susunan pic secara melintang.

a. Terdapat pic tinggi,rendah dan sederhana

b. Pic dalam melodi boleh bergerak menuju ke arah tinggi,rendah dan mendatar.

c. Pic dalam melodi bergerak secara bertangga atau melompat.

d. Ton-ton dalam satu siri pic yang ada kaitan antara satu sama lain membentuk satu kumpulan atau

rangkaian pic.

e. Gabungan beberapa rangkaian pic membentuk sebuah melodi lagu.

f. Pic boleh disusun secara berurutan.

g. Pic-pic yang berkaitan antara satu sama lain boleh membentuk sebuah melodi lagu.

Simbol Verbal :

Melodi skel (major,minor,pentatonik) frasa lagu / melodi sekuens nada

Objektif P & P :

Pada akhir pembelajaran murid-murid anak mendapat mengenal pasti dan membezakan :

1. Antara melodi dan iringan.

2. Pic tinggi,tengah dan mendatar.

3. Skel yang dimainkan.

4. Pic yang melompat dan berulang.

5. Nada sesebuah lagu yang dimainkan/dinyanyikan



3. Warna Ton

Bunyi-bunyian yang dihasilkan oleh pelbagai sumber mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.

Sesuatu bunyi-bunyian itu mempunyai mutu yang berlainan dan memberi satu gambaran atau idea yang tersendiri.

Hasil dan mutu sesuatu bunyi itu adalah disebabkan oleh alat itu sendiri dibuat daripada bahan-bahan tertentu dibuat,cara dibuat dan dibunyikan.

Simbol Verbal:

Alat suara - manusia,binatang,kenderaan,alam semula jadi dll. perkataan deskriptif ton - gelap , cerah , padat , garau , kasar suara - soprano , alto , tenor dan bes Keluarga alat muzik - membranofon, aerofon , kordofon dan idiofon.

Objektif P & P :

Pada akhir pembelajaran murid-murid akan dapat :

1. Mengenal psati bunyi-bunyian yang didengar di sekeliling mereka.

2. Menghasilkan pelbagai bunyi yang didengar,diterokai / eksperimen dll.

3. Membezakan dan mengenal pasti bunyi-bunyian yang lembut,kasar,tinggi,rendah,padatgarau dll.

4.Mengenal pelbagai jenis alat muzik seperti piano,rekoder,dram,trumpet,gong,violin dll.



4. Bentuk

Satu paten/corak boleh dihasilkan melalui gabungan beberapa pic/ton.

a. Gabungan siri-siri pic menghasilkan satu idea.

b. Rangkaian frasa boleh dicantumkan untuk menghasilkan satu idea muzik yang lebih besar.

c.Segmen muzik (motif,frasa,seksyen) boleh diulang dan dipelbagaikan.

d. Segmen muzik seperti intro dan yang akhir boleh diadakan.

Simbol Verbal :

Motif frasa seksyen,koras,rangkap ABA , berulang,kontras intro,koda

Objektif P & P :

Pada akhir pembelajaan murid-murid akan dapat membezakan dan mengenalpasti :

1. Frasa yang sama dan yang lain melalui lagu-lagu yang dinyanyikan/mainkan.

2. Rangkaian lagu berangkap da korasnya.

3. Intro dan koda sesebuah lagu atau muzik.



5. Harmoni.

Hasil gabungan 2 pic atau lebih disusun secara menengak dan dinyanyikan/dimainkan serentak.

a. Dua pic boleh dibunyikan serentak.

b. Gabungan 3 atau lebih pic dimainkan secara serentak.

c. Dua atau lebih rangkaian melodi boleh digabungkan dan dibunyikan serentak.

d. Iringan kord pada melodi boleh menghasilkan bunyi harmoni.

Simbol Verbal :

Harmoni jeda triad tonik/kord round,polifoni,deskan,kaunter melodi kord iringan homofoni

Objektif P & P :

Pada akhir pembelajaran murid-murid akan mendapat :

1. Membezakan antara melodi (rangkaian pic) dan harmoni (himpunan pic-pic - iringan).

2. Mengenal pasti antara lagu/muzik satu suara dan muzik/lagu dua atau lebh dua suara.

3. Menyanyi lagu pusingan - round,berkembar dan lagu-lagu yang mengandungi kaunter melodi dan deskan.



6. Ekspresi

Satu gabungan semua elemen deskriptif termasuk tempo,dinamik yang mengandungi satu ekspresi ide muzik.

a. Sesuatu bunyi itu boleh menjadi kuat atau lembut.

b. Satu sekuen/siri bunyi boleh dikuatkan atau dilembutkan secara beransur-ansur.

c. Sesuatu bunyi itu boleh dilanjutkan,dilicinkan dan dipendekkan atau dilembutkan secara beransur- ansur.

d. Sesuatu siri/sekuen bunyi boleh dicepatkan atau dilambatkan.

e. Sesebuah lagu/muzik mempunyai ciri-ciri tersendiri - mud.

Simbol Verbal :

Dinamik Volume cerscendo diminuendo susutain,legato,staccato cepat,lambat

mud - riang,tenang,cemas,cergas.

Objektif P & P :

Di akhir pembelajaran murid-murid akan mendapat :

1. Membeza dan mengenal pasti di antara bunyi pada sesebuah lagu dan muzik yang kuat dan lembut.

2. Memahami bahawa pada tempat-tempat yang tertentu dalam sesebuah lagu/muzik boleh beransur- ansur menjadi kuat atau perlahan.

3. Memahami bahawa sesetengah lagu/muzik boleh dipelbagaikan dengan bunyi pendek,lembut,panjang,terputus-putus dan lain-lain lagi.



7. Tekstur / Jalinan

Tekstur ditentukan oleh pelbagai kombinasi atau gabungan bunyi yang didengar.

a. Sesuatu bunyi yang didengar boleh memberi bunyi yang nipis atau satu / teba atau banyak.

b. Tekstur ditentukan oleh pembentukan harmoni.

Simbol Verbal

Solo duet trio quartet orkestra monofoni homofoni polifoni

Objektif P & P :

Pada akhir pembelajaran murid-murid akan dapat :

1. Mengenal pasti samada lagu/bunyi yang didengar itu dinyanyikan/dimainkan oleh seorang,dua atau lebih.

2. Membezakan bunyi yang bercirikan monofoni,homofoni dan polifoni.



Pasukan Koir Sekolah.

Walau apa sekali pun sebab tertubuhnya sesbuah kumpulan koir,tujuan utama yang anda perlu laksanakan ialah membantu pelajar memperkembang dan meningkatkan potensi dan bakat mereka dalam bidang nanyian.

Berikut adalah antara beberapa matlamat bagi membimbing koir:-

1. Memperkembang daya ekspresi estetik dan aspresiasi.

2. Mengenali dan menghargai pelbagai jenis lagu - patriotik,semasa,tradisional,klasik,kanak-kanak dan lain-lain.

3. Memahami pentingnya nilai-nilai murni seperti kerjasama,tangungjawab dan disiplin.

4. Mengalami keseronokan dan kepuasan dalam membuat persembahan yang terbaik untuk diri sendiri dan untuk kumpulan.

5. Memperkembangkan sikap dan kemahiran yang menggalakan mereka mengunakan suara mereka sebagai aset sepanjang hayat mereka.

Sebagai pembimbing koir mempunyai matlamat adalah penting. Antaranya ialah :

1. Memperbaiki pengetahuan dalam teknik suara.

2. Memperbaiki gaya memimpin.

3. Dapat mengubah lagu dalam 4 suara dengan baik.

4. Membina sebuah studio koir.

5. Mendapatkan sokongan ibubapa dalam aktiviti-aktiviti dirancang.

6. Menguruskan lawatan untuk menyaksikan persembahan koir.

Obkektif pembelajaran adalah pernyatan hasil dar pembelajaran secara langsung.Antara contoh pernyataan ialah ahli koir dapat :

1. Menunjukkan pengurusan pernafasan yang betul.

2. Menyanyi dalam dua suara dalam kumpulan kecil dengan yakin.

3. Menyanyi dengan sebutan yang jelas dan betul.

Penubuhan Kumpulan Koir.

Sebelum dapat menubuhkan kumpulan koir,kita perlukan ahli dan mengetahui sasaran kita.Ada sesetangah berpendapat lebih mudah sekiranya pelajar tahap dua diambil memandangkan mereka lebih matang dari aspek perkembangan,fisikal,emosi dan inelek.Namun begiutu,menyediakan kumpulan yang terdiri dari paelajar tahap satu merupakan faktor yang baik kerana kemahiran dan teknik suara mereka akan berkembang dengan lebih awal lagi.

Saiz kumplan koir yang menghasilkan bunyi suara yang baik adalah kumpulan yang mengandungi 30,45 hinga 80 orang ahli.Sekiranya melebihi 80 orang ahli,pastikan disiplin dapat dikawal.

Klasifikasi Suara.

Biasany a dalam kumpulan koir hanya empat suara yang kerap digunakan iaitu soprano,alto,tenor dan bes/bass atau koir yang terdiri dari wanita ialah soprano,mezzo soprano dan alto.

Di dalam koir sekolah rendah yang terdiri dari kanak-kanak lelaki dan perempuan selalunya suara mereka tiada perbezaan sehinggalah kanak-kanak lelaki mencecah umur dari 11 hingga 14 tahun apabila suara mereka bertukar menjadi lebih rendah dan dalam atau lebih dikenali sebagai 'pecah suara'.

Suara kanak-kanak perempuan tidak mengalami pecah suara seperti kanak-kanak lelaki cuma suara mereka menjadi lebih matang apabila meningkat dewasa.Kanak-kanak lelaki yang mengalami transisi vokal ini perlu diawasi degan teliti dan digalakkan untuk bernafas lebih kerap dan mengekalkan postur nyanyian yang selesa dan baik.

Suara Penumpang.

Penyanyi penumpang adalah penyanyi yang boleh menyanyi dengan pic yang tepat dan baik sekiranya ia menyanyi di dalam kumpulan atau diiringi irigan muzik.Penyanyi jenis ini tidak dapat menyanyi sendiri tanpa rakan-rakan lain atau bantuan muzik iringan.

Ini mungkin disebabkan ia tiada keyakinan diri atau malu dan takut membuat kesilapan.Salah satu sebab adalah kerana ia mempunyai ingatan tonal yang kurang baik.

Cara mengatasinya - Latihan menyanyi secara bertalun yang akan membantu ingatan tonal yang baik dan memberi keyakinan dalam nyanyian solo.

Menghafal corak melodi yang pendek dalam solfa.

Galakkan menyanyi dalam hati ata dalam kepala - 'inner hearing'.Ini memelukan daya konsentrasi yang tinggi.

Latihan nyanyian dan mengulang corak melodi perlu dijalankan dalam teknik latih tubi.

(Bersambung...)

Bahan dari Panitia Pen.Muzik Daerah Kulaijaya