24 Oktober 2009

Hala tuju Pendidikan Muzik di Malaysia

Pendidikan Muzik di Malaysia bermula seawal tahun 1982 dan hanya dilaksakan di sekolah rendah sahaja. Setelah 13 tahun kemudian, Pendidikan Muzik mula dilaksanakan di sekolah menengah sebagai subjek elektif dengan bertujuan memperkembangkan sahsiah diri pelajar dari aspek estetik, kreatif dan persepsinya agar dapat mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam urusan hidupnya serta mengenal identiti bangsa. Bidang pendidikan muzik di negara ini, sedikit sebanyak telah membuka perluang pekerjaan kepada sesetengah golongan masyarakat. Pelbagai peluang kerjaya disediakan seperti guru muzik, pemuzik, penggubah lagu, pencipta lirik, artis dan sebagainya. Pendidikan muzik di sekolah dapat memberi penekanan ke arah pembentukan kualiti diri pelajar yang merangkumi aspek perasaan, kreativiti, nilai sosialisasi, estetika, dan etika. Selain itu, ia juga bertujuan memperkembangkan tahap pencapaian pelajar dalam bidang akademik iaitu penggunaan seimbang di antara otak kiri dan kanan seseorang pelajar itu di samping dapat mencungkil bakat dan juga kemahiran yang terpendam dalam kalangan pelajar. Pendidikan Muzik juga berperanan membantu ketangkasan, skil berfikir, skil mendengar, disiplin diri, koordinasi, keyakinan diri, dan ekspresi diri pelajar. Bagi pendapat saya, Pendidikan Muzik di sekolah perlulah diperbaharui system dan sukatan pengajarannya agar ianya lebih sesuai dengan perkembangan aliran muzik masa kini dengan menyediakan kelengkapan alatan muzik serta tenaga pengajar yang berkebolehan mengajar subjek ini di sekolah. Rata-rata saya melihat, murid-murid sekolah rendah terutamanya, tidak diajar dengan sempurna tentang intipati pendidikan muzik ini. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, marilah kita bersama-sama meningkatkan kualiti pendidikan muzik di negara kita, dan jangan sesekali kita membenarkan pengurangan masa P&P Pendidikan Muzik ini berlaku. Diharapkan dengan sokongan ini dapat menjamin generasi yang akan datang dapat menikmati kesenian muzik yang sistematik dan seterusnya berkembang secara menyeluruh dan seimbang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.